JOHOR: Profesor Adjung Hj Adam Richman memulakan tugasnya sebagai Prodesor Adjung di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerusi Bengkel Pertama, Pengenalan dan Perancangan Pemasaran yang berlangsung selama dua hari pada 28 dan 29 Ogos 2022 bertempat di Bilik Seminar Lestari 1, Perpustakaan Tunku Tun Aminah, UTHM.
Dalam bengkel tersebut, Profesor Adjung Hj Adam Richman memberi panduan, penerangan serta menyampaikan ceramah berkaitan perancangan elemen teknik pemasaran yang efektif kepada wakil-wakil dari 5 Jabatan di UTHM iaitu Pusat Pembangunan Perniagaan (BizDeC), Pusat Teknousahawan Universiti (PTU), Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC), Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat (PPKK) dan Pusat Pembelajaran Maya (CVL).

Profesor Adjung Hj Adam Richman ketika dalam sesinya semalam
“Pemasaran ialah satu perkara yang tidak bersifat malar dan dapat dipelajari semata-mata menerusi pembacaan tetapi ia adalah satu kemahiran yang sentiasa berkembang dan bersifat pragmatik sesuai dengan keperluan semasa, lantas memerlukan pengamalnya sentiasa belajar dari lapangan.
“Justeru dengan pengalaman selama lebih 10 tahun dalam industri dan telah berinteraksi dengan ribuan pelanggan dari pelbagai bidang, saya telah mengenalpasti serta menginovasikan teknik-teknik pemasaran yang selama ini telah terbukti memberi impak yang luar biasa kepada para pelanggan saya.
“Untuk itu, saya sangat berbesar hati kerana di beri peluang oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia melalui Pusat Pembangunan Perniagaan (BizDeC) UTHM untuk berkongsi setiap rahsia teknik pemasaran yang telah saya bangunkan sepanjang terlibat dalam industri pemasaran dan pengiklanan.” Kata Profesor Adjung Hj Adam Richman dalam satu kenyataan hari ini.
Hj Adam Richman telah dilantik sebagai Profesor Adjung oleh UTHM pada 15 Julai 2022 dan ia dilihat sebagai satu pengiktirafan kepada kepakaran serta pengalaman beliau dalam industri pengiklanan dan pemasaran setelah beliau berjaya menerajui syarikat milik beliau, Kaya N Kaya Viral Sdn Bhd meraih lebih RM150,000,000.00 jualan untuk para pelanggannya pada tahun 2021 walaupun pada ketika itu dunia sedang dilanda pandemik Covid19.