SELANGOR : “Saya dengan rasa rendah diri, merayu serta mohon ihsan dan bantuan adik-adik dan anak-anak semua bantu doakan kami ya, ” begitulah kata-kata penutup Profesor Adjung Hj. Adam Richman dalam ucapan ringkasnya ketika program Mengisi Kekurangan bersama Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim & Miskin Bandar Tasik Puteri yang berlangsung pada Sabtu lepas.
Dalam program Tanggung Jawab Sosial itu, seluruh pengurusan serta warga kerja Kaya N Kaya Viral Sdn Bhd telah turun ke pusat jagaan tersebut untuk sama-sama merasai kesedihan serta menyelami kehidupan anak-anak yatim dan miskin di rumah tersebut.
“Saya kagum melihat adik-adik di sini. Walaupun hidup mereka diuji di usia masih kecil, tapi mereka tetap gembira dan mensyukuri kehidupan mereka seadaanya. Saya insaf dan syukur kerana masih diberi nikmat untuk hidup bersama ibu dan ayah,” kata Amelia Amir, salah seorang warga kerja Kaya N Kaya Viral yang menyertai program tersebut.
Menurut Profesor Adjung Hj Adam Richman, CEO Kaya N Kaya Viral, program Mengisi Kekurangan ini adalah salah satu program tanggungjawab sosial syarikatnya terhadap golongan yang memerlukan.

Sebahagian barangan yang disumbangkan kepada Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim & Miskin Bandar Tasik Puteri
“Ini adalah usaha kami untuk memberi serta berkongsi kembali kepada ummah yang memerlukan setelah mereka memberi sokongan kepada usaha-usaha dakwah yang kami lakukan menerusi iklan-iklan serta video viral kami”
“Kejayaan yang Allah kurniakan kepada Kaya N Kaya Viral pada hari ni adalah hasil sokongan semua masyarakat Malaysia yang menyokong, menonton serta menyebarkan setiap nilai dalam iklan-iklan yang kami hasilkan. Selagi iklan-iklan kami disokong oleh masyarakat Malaysia, insyaAllah selagi itulah kami akan terus menyebarkan kebaikan serta berkongsi nikmat yang Allah kurniakan ini bersama-sama,” katanya lanjut setelah ditemui ketika program tersebut.
Menurut pengasas serta pemilik Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim & Miskin Bandar Tasik Puteri, En Azmi, mereka berterima kasih atas usaha yang dilakukan oleh warga kerja Kaya N Kaya Viral ini. Menurutnya, sedikit sebanyak, sumbangan yang diberikan dapat memudahkan kehidupan sehari-harian semua penghuni pusat jagaan tersebut.
Dalam program tersebut, Kaya N Kaya Viral turut menyampaikan sumbangan-sumbangan seperti Mesin Basuh, Almari pakaian, wang tunai serta beberapa lagi sumbangan untuk memenuhi keperluan pusat jagaan tersebut.